TATASUSILA PROFESION PERGURUAN MALAYSIA
Kami, guru-guru Malaysia, yakin bahawa tujuan utama pendidikan ialah
berusaha menuju ke arah pembentukan warganegara yang berilmu, yang taat setia,
yang bertanggungjawab dan berkebolehan, yang menyedari betapa pentingnya usaha
menuju ke arah kebenaran dan ke arah pencapaian hasrat yang gemilang dan yang
percaya demokrasi, kebebasan perseorangan dan prinsip-prinsip Rukun Negara.
Melalui pendidikan, masyarakat dapat membantu anak mudanya memahami kebudayaan
mereka, memperolehi pengetahuan yang terkumpul sejak zaman berzaman dan
menyediakan mereka untuk menghadapi cabaran pada masa hadapan. Dengan menyedari
betapa besarnya tanggungjawab untuk membimbing anak muda untuk mencapai
kemajuan sepenuhnya, kami menyempurnakan profesion kami ke taraf kesusilaan
yang setinggi-tingginya.
TANGGUNGJAWAB TERHADAP PELAJAR
- Lebih mengutamakan kebajikan dan keselamatan
pelajar-pelajar kami dari hal-hal lain.
- Bersikap adil kepada pelajar-pelajar tanpa
mengira faktor-faktor jasmani, mental, emosi, politik, ekonomi, keturunan
atau agama.
- Merahsiakan ikhtisas atau sulit mengenai
pelajar kecuali kepada mereka yang berhak mengetahuinya.
- Membimbing atau mengajar seseorang pelajar
dalam darjahnya sendiri atau dalam matapelajaran-matapelajaran yang diajar
dalam bilik darjah tanpa sebarang bayaran.
- Menunjukkan suatu cara berpakaian, tutur kata
dan tingkah laku yang dapat memberikan contoh yang baik kepada para
pelajar.
- Memelihara dan memperbaiki kecekapan ikhtisas
melalui pengkajian, penyelidikan, lawatan dan menghadiri kursus ikhtisas,
persidangan, mesyuarat atau seminar supaya pengajaran kami mencapai mutu
yang setinggi-tingginya.
TANGGUNGJAWAB TERHADAP IBUBAPA
- Menghormati tanggungjawab utama ibu bapa
terhadap anak-anak mereka.
- Berusaha mewujudkan hubungan mesra dan
kerjasama yang erat di antara institusi pendidikan dengan rumah tangga.
- Menganggap semua maklumat yang diberikan oleh
ibu bapa mengenai keadaan rumah tangga atau mengenai anak mereka sebagai
sulit dan tidak akan membocorkannya kepada sesiapa kecuali kepada mereka
yang berhak mengetahuinya.
- Memberikan maklumat kepada ibu bapa demi
kepentingan anak-anak mereka dan menggunakan maklumat daripada ibu bapa
secara teliti dan bijaksana.
- Mengelakkan diri dari menggunakan atau
dipengaruhi oleh kedudukan sosial dan ekonomi ibu bapa pelajar.
- Mengelakkan diri dari mengeluarkan kata-kata
atau melakukan sesuatu yang menjejaskan kepercayaan pelajar terhadap ibu
bapa mereka.
TANGGUNGJAWAB TERHADAP MASYARAKAT DAN NEGARA
- Mengelakkan diri dari menyebarkan suatu ajaran
yang boleh merosakkan kepentingan pelajar, masyarakat atau negara, ataupun
yang bertentangan dengan prinsip Rukun Negara.
- Memupuk dalam diri setiap pelajar dengan sikap
dan nilai yang boleh membantu dan membimbing mereka untuk menjadi warganegara
yang taat setia, bertanggungjawab dan berguna, menghormati orang yang
lebih tua dan menghormati adanya perbezaan budaya, keturunan dan agama.
- Menghormati masyarakat tempat kami berkhidmat
dan memenuhi tanggungjawab sebagai seorang warganegara dan sentiasa
sanggup mengambil bahagian dalam sebarang kegiatan masyarakat.
- Menggalakkan kerjasama dan persefahaman di
antara guru dan ibu bapa, institusi pendidikan dengan masyarakat.
- Memberikan sumbangan cergas untuk meninggikan
kehidupan moral, kebudayaan dan kecendekiawan masyarakat.
- Berpegang kepada tingkah laku yang sopan yang
diterima oleh masyarakat dan menjadi kehidupan kami sehari-hari dengan
baik.
TANGGUNGJAWAB TERHADAP RAKAN SEJAWAT DAN PROFESION PERGURUAN
- Mengelakkan diri dari membuat sebarang kenyataan
atau ulasan yang boleh mencemarkan nama baik seseorang guru di hadapan
pelajar atau ibu bapa atau membuat sesuatu yang boleh menjatuhkan maruah
seseorang guru.
- Tidak melibatkan diri dalam sebarang kegiatan
yang boleh menjejaskan kecekapan kami sebagai guru.
- Berusaha dengan sepenuh-penuhnya menunaikan
tanggungjawab kami dengan rajin dan bersungguh-sungguh dan mengekalkannya
sejajar dengan kemajuan ikhtisas dan sosial.
- Sentiasa bersedia membantu rakan sejawat kami
terutamanya mereka yang baharu dalam profesion perguruan.
- Sentiasa mengawasi diri kami supaya tidak
mencemarkan nama baik profesion perguruan.
- Akan menjadi ahli sebuah pertubuhan guru.
Catatan :
Guru yang dimaksudkan dalam konteks tatasusila ini ialah orang yang
menyebarkan ilmu pengetahuan di sesebuah institusi pendidikan peringkat rendah,
menengah dan tinggi, termasuk guru terlatih yang bertugas dalam pentadbiran,
organisasi dan penyeliaan pendidikan.
No comments:
Post a Comment